Saturday, February 17, 2007

cinta

60 Petua Mendapat Pasangan

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Dato’ dari. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah

Cinta Lelaki

Cinta lelaki memang pelik dan aneh, tetapi juga unik. Ia pelik kerana hadir di jiwa seorang lelaki, yang sebelumnya keras, kasar dan kurang romantis; aneh apabila dia sudah lembut dan romantis mudah pula dia berasa sayu pilu dan sensitif hanya dengan kata-kata orang yang dicintainya. Semuanya ini melambangkan keunikan hati lelaki yang sukar difahami . Adakalanya lunak tetapi selalunya keras dan kurang simpati.

Lelaki tidak berupaya hidup tanpa wanita di sisinya tetapi tatkala sudah memperolehinya, jarang pula hendak menghargainya sepanjang usia. Lelaki yang benar-benar lelaki, adalah yang disenangi pasangannya, seorang wanita bernama kekasih mahupun sudah bergelar isteri. Kesungguhan cinta lelaki terpancar melalui :

Kesungguhan dalam melakukan sesuatu buat kekasih/isteri - tanpa sedikit keterpaksaan.Semuanya dilakukan dengan rela, ceria dan penuh bahagia.

Dia berasa puas apabila dapat menghiburkan pasangannya.

Dia lebih banyak menasihati kerana dia amat menyayangi kekasih/isterinya.

Dia mencemburi kekasih/isteri - lantaran itu dia akan mengongkong kebebasan mereka. Kongkongan semata-mata oleh perasaan sayang dan cemburu yg meluap-luap.

Dia akan kerap menyatakan ketakutan jika kehilangan kekasih/isteri.

Dia akan mudah merajuk dan sensitf apabila anda tidak menumpukan perhatian penuh terhadapnya. Kadang-kadang dia seperti anak kecil utk mendapatkan layanan yang terbaik dari pasangan.

Kerajinannya ketara, tergambar melalui kesungguhan melakukan apa saja asalkan dapat membahagiakan kekasih/isteri.

Mudah merajuk kerana mahukan kata-kata lembut daripada kekasih/isteri. Merasa lega bila pasangan memujuknya.

Dia akan gelisah apabila berjauhan dengan kekasih/isteri.

Dia akan kerap menelefon dan menghantar SMS.

Dia akan kerap bertanya apakah kekasih/isterinya mencintainya.Lelaki yang jujur dan cukup ‘mabuk’ dalam percintaanya pasti tidak akan melayan perempuan lain sewenang-wenangnya. Dia akan berasa berdosa berbuat begitu tanpa pengetahuan kekasih atau isterinya.

Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Kisah Cinta Sejati

Namaku Linda dan aku memiliki sebuah kisah cinta yang memberikanku sebuah pengajaran tentangnya. Ini bukanlah sebuah kisah cinta hebat dan mengagumkan seperti dalam novel-novel romantis, tetapi tetap bagiku ia adalah kisah yang jauh lebih mengagumkan dari semua novela tersebut.

Ini adalah kisah cinta ayahku, Mohammed Huda Alhabsyi dan ibuku, Yasmine Ghauri. Mereka bertemu di sebuah majlis resepsi pernikahan dan kata ayahku dia jatuh cinta pada pandangan pertama ketika ibuku masuk ke dalam ruangan. Saat itu dia tahu, inilah wanita yang akan dikahwininya. Ia menjadi kenyataan dan mereka telah bernikah selama 40 tahun dengan tiga orang anak. Aku anak sulung, telah berkahwin dan memberikan mereka dua orang cucu. Ibu bapaku hidup bahagia dan selama bertahun-tahun telah menjadi ibu bapa yang sangat baik bagi kami, membimbing kami dengan penuh cinta kasih dan kebijaksanaan.

Aku teringat suatu hari ketika aku masih berusia belasan tahun. Beberapa jiran kami mengajak ibuku pergi ke pembukaan pasaraya yang menjual alat-alat keperluan rumah tangga. Mereka mengatakan hari pembukaan adalah waktu terbaik untuk berbelanja barang keperluan kerana barang sangat murah dengan kualiti yang berpatutan.

Tapi ibuku menolaknya kerana ayahku sebentar lagi akan pulang dari kerja. Kata ibuku,”Ibu tak akan pernah meninggalkan ayahmu sendirian”.

Perkara itu yang selalu ditegaskan oleh ibuku kepadaku. Apapun yang terjadi, sebagai seorang wanita, aku wajib bersikap baik terhadap suamiku dan selalu menemaninya dalam keadaan apapun, baik miskin, kaya, sihat mahupun sakit. Seorang wanita harus menjadi teman hidup suaminya. Banyak orang tertawa mendengar hal itu. Menurut mereka, itu hanyalah lafaz janji pernikahan, omongan kosong belaka. Tapi aku tetap mempercayai nasihat ibuku.

Sampai suatu hari, bertahun-tahun kemudian, kami sekeluarga mengalami berita duka. Setelah ulang tahun ibuku yang ke-59, ibuku terjatuh di kamar mandi dan menjadi lumpuh. Doktor mengatakan kalau saraf tulang belakang ibuku tidak berfungsi lagi, dia harus menghabiskan sisa hidupnya di pembaringan.

Ayahku, seorang lelaki yang masih sihat di usia tuanya. Tetapi dia tetap setia merawat ibuku, menyuapinya, bercerita segala hal dan membisikkan kata-kata cinta pada ibu. Ayahku tak pernah meninggalkannya. Selama bertahun-tahun, hampir setiap hari ayahku selalu menemaninya. Ayahku pernah mengilatkan kuku tangan ibuku, dan ketika ibuku bertanya ,”Untuk apa kau lakukan itu? Aku sudah sangat tua dan hodoh sekali”.
Ayahku menjawab, “Aku ingin kau tetap merasa cantik”.

Begitulah pekerjaan ayahku sehari-hari, merawat ibuku dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

Suatu hari ibu berkata padaku sambil tersenyum,”Kau tahu, Linda. Ayahmu tak akan pernah meninggalkan aku…kau tahu kenapa?”

Aku menggeleng, dan ibuku berkata, “Kerana aku tak pernah meninggalkannya…”

Itulah kisah cinta ayahku, Mohammed Huda Alhabsyi dan Ibuku, Yasmine Ghauri, mereka memberikan kami anak-anaknya pelajaran tentang tanggungjawab, kesetiaan, rasa hormat, saling menghargai, kebersamaan, dan cinta kasih. Bukan dengan kata-kata, tapi mereka memberikan contoh dari kehidupannya.

Tulang Rusuk Yang Patah

“Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?” tanya Dara.
“Sudah pasti kamu!” balas Jejaka.
“Pada pandangan kamu, aku ini siapa?” tanya Dara lagi.

Jejaka diam sejenak, berfikir, lalu menatap Dara dengan tenang dan berkata, “Kamu adalah tulang rusukku! Ada tertulis, Tuhan melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam tidur, Tuhan mengambil rusuk dari Adam dan menciptakan Hawa. Semua lelaki mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, dia tidak lagi merasakan sakit di hati.”

Mereka kemudiannya bernikah dan melalui masa-masa yang indah dan manis untuk sesaat. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kepenatan hidup yang kain mendera. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain.

Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari, pada akhir sebuah pertengkaran, Dara membentak, “Kamu tak cintakan aku lagi!”

Jejaka sangat membenci ketidakdewasaan Dara dan secara spontan membalas, “Aku juga menyesal menikah dengan kamu! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!”

Dara terkedu, berdiri terpaku untuk beberapa saat. Matanya basah. Dia menatap Jejaka, seakan tak percaya dengan apa yang telah didengarnya tadi. Jejaka pula menyesal dengan apa yang sudah dia ucapkan. Tetapi seperti air yang telah tertumpah, ucapan itu tidak mungkin untuk ditarik kembali. Dengan linangan air mata, Dara mengemas barang-barangnya, bertekad untuk berpisah.

“Jika aku bukan tulang rusukmu, aku akan pergi! Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing.”

Lima tahun berlalu…

Jejaka tidak menikah lagi, tetapi berusaha mencari khabar tentang kehidupan Dara. Khabarnya Dara pernah menikah dengan seseorang selepas itu, tetapi jodohnya tidak panjang juga. Jejaka yang tahu semua tentang Dara, merasa kecewa kerana dia tak pernah diberi kesempatan untuk kembali. Dara tak pernah menunggunya.

Suatu malam yang sunyi, saat Jejaka menghirup secawan kopi panas, dia merasakan ada yang sakit di dadanya. Tapi dia tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan Dara. Ditakdirkan mereka bertemu kembali secara tidak sengaja.

“Kamu apa khabar?” tanya Jejaka.

“Baik-baik saja. Hmm, apakah kamu sudah menemukan rusukmu yang hilang?” tanya Dara spontan.

“Belum,” jawab Jejaka sepatah.

“Aku akan ke luar negara esok. Mungkin akan pulang dua minggu lagi,” beritahu Dara.

“Telefon aku kalau kamu sempat. Kamu tahu nombor telefon rumah kita, bukan? Masih tidak berubah. Dan, tak akan ada yang berubah,” kata Jejaka.

Dara tersenyum kemudian berlalu.

Seminggu kemudian, Jejaka mendengar khabar bahawa Dara mengalami kemalangan, dan meninggal.

Malam itu, sekali lagi, Jejaka menghirup kopi panas dan kembali merasakan sakit di dadanya. Akhirnya dia sedar bahawa sakit itu adalah kerana Dara - tulang rusuknya sendiri, yang telah dengan bodohnya dia patahkan

Sejarah Hari Kekasih

Versi 1
Ia diraikan sempena memperingati paderi Kristian bernama Pedro St. Valentino. Dia aktif menyebarkan agama Kristian pada zaman pemerintahan Rom yang pada masa itu diperintah Claudius II. Raja Rom ini memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh kerana Valentine salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari. Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.

Sumber-sumber menyatakan, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan, sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh. Beliau rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan From your valentine (Daripada Valentinemu).

Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentine, paderi kesayangan mereka.

Versi 2
St. Valentine dibunuh kerana mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia sedangkan undang-undang Rom pada ketika itu menghalang pemuda-pemudanya berkahwin dan berkeluarga. Mereka dikerahkan untuk menjadi tentera sahaja. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.

Versi 3
Ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu.

Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Bayangkan kalau kita meraikan hari ini, sudah tentu ia menandakan kita sendiri merayakan kejatuhan agama Islam itu.

Cinta

Cinta itu cahaya yang menyinari kehidupan. Hidup menjadi suram jika orang yang kita cintai tidak turut sama menikmatinya.

Memburu cinta memang baik, tapi cinta yang datang tanpa diburu adalah lebih baik. ~ Shakepeare

Cinta itu kehidupan kedua; ia tumbuh dan membesar di dalam jiwa, menghangatkan urat saraf dan bergatar pada setiap denyutan nadi. Joseph Addison

Cinta itu kunci yang membuka setiap kamar hati seorang lelaki. ~ J.H. Evans

Rahsia untuk dicintai ialah dengan menjadi pencinta, dan rahsia untuk menjadi pencinta ialah dengan menjadi orang yang tidak mementingkan diri sendiri. ~ J.G. Holland

Cinta bukan sesuatu untuk diperdebatkan, diberikan alasan dan tawar menawar. Cinta adalah sesuatu untuk diberi, untuk dirasai.

Cinta itu terlalu subjektif untuk diperkatakan dan setiap insan mempunyai persepsi yang berlainan dan kemungkinan sama mengenainya. Berhati-hati dengan cinta .

Kejujuran bukti cinta sejati

PERCINTAAN bukan pasti berakhir dengan perkahwinan, malah ada pasangan yang bercinta bagai Laila dan Majnun tetapi akhirnya putus di pertengahan jalan.

Justeru, apabila mengingatkan kisah percintaan lama, pasti ramai di antara kita yang tersenyum sendiri. Bagi lelaki dan wanita, mereka tentu mempunyai kisah percintaan sendiri yang kadangkala jika ditulis boleh dibuat novel.

Ada yang kecewa akibat bercinta mengambil keputusan terus membujang sehingga tua, seolah-olah cinta pertama itu terlalu agung dan tidak boleh diganti dengan percintaan lain.

Namun, bagi kebanyakan kita, jodoh pertemuan ketentuan Ilahi. Justeru, apabila gagal dalam percintaan pertama, kedua dan seterusnya, masih ada ruang untuk mengubat kedukaan itu.

Apabila menjadi suami isteri, kadangkala teringat juga kisah percintaan lama. Ada di antara kita yang berani untuk memberitahu pasangannya mengenai cerita cinta yang pernah ditempuhi dan bagi yang lain menyimpan dalam memori sendiri.

Setiap orang pasti memiliki kisah masa lalu, sama ada buruk atau indah. Timbul persoalan, adakah kisah masa lalu yang buruk itu perlu diceritakan kepada kekasih kita?

Adakah jika diceritakan akan membuktikan betapa dalamnya cinta anda dan pasangan? Atau adakah dengan membuka cerita cinta lama itu akan merosak dan memporak-porandakan hubungan anda?

Ada yang berkata, jika anda tidak menyampaikan kisah cinta masa lalu, maka anda akan menjadi seorang pembohong di hadapan orang yang anda cintai dan anda tidak mungkin dapat mencintainya sepenuh hati.

Ini berlaku terutama kepada pasangan yang berkomitmen untuk bersama-sama selamanya, justeru setiap orang berhak mengetahui kisah pasangan yang dicintainya itu.

Namun, sebelum anda ingin menceritakan kisah percintaan masa lalu, pastikan pasangan anda bersedia menerima segala masa lalu anda dan melupakannya!

Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menyingkap masa lalu:

- Bagaimana keadaan anda ketika melalui saat-saat percintaan dengan bekas kekasih anda.

- Kehidupan sekarang lebih baik daripada masa lalu.

- Cerita percintaan masa lalu itu akan meningkatkan kualiti cinta anda.

- Ceritakan percintaan masa lalu yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan anda dan pasangan ketika ini.

- Jalani hubungan anda dan pasangan dengan saling menanamkan kepercayaan dalam hubungan cinta.

- Tanamkan dalam diri hubungan ketika ini amat penting, justeru anda jujur untuk menceritakan kisah percintaan masa lalu.

Cinta Tidak Memerlukan Sebab

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada si suami. Ini dialog mereka

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata, “Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!”

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminyan. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma. Si suami amat bersedih lalu berkata kepada isterinya walaupun isterinya masih dalam keadaan koma kerana si suami tahu bahawa isterinya tetap mendengar,

“Sayang! Jika disebabkan suara aku mencintai mu… sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu…sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu… sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan setiap langkah aku mencintaimu…. sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi. Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu… ia boleh dirasai dalam hati.”

Maka menitis lah air mata si isteri yang masih dalam keadaan koma itu…..

Cinta Itu Anugerah

Andaikata dunia hendak meraih cinta, ia tak akan mampu dan andaikata ia akan menolaknya, ia juga tak akan kuasa, kerana cinta itu suatu anugerah, bukan suatu hasil usaha. Cinta berasal dari Tuhan “. (Al Hujwiri –Kasyf Al-Mahjub )

Jika seseorang hadir dalam hidup kamu dan menjadi sebahagian daripada kamu, tetapi atas sebab tertentu dia terpaksa pergi, jangan terlalu sedih, terimalah kenyataan itu dan sekurang-kurangnya dia pernah membahagiakan kamu.

Cinta itu seperti sinar matahari, memberi TANPA mengharap kembali.Cinta itu seperti sinar matahari, TIDAK MEMILIH siapa yang ia sinari. Cinta itu seperti sinar matahari yang MEMBERI KEHANGATAN DI HATI..

Cinta adalah sebuah janji, cinta adalah sebuah cenderahati, sekali diberi tidak akan di lupakan , jangan biarkan ia hilang.

Jika ia sebuah cinta, ia tidak hadir dengan permintaan… namun ia hadir kerana ketentuannya….jika ia sebuah cinta, ia tidak hadir dengan kemewahan dan kebendaan…namun ia hadir kerana pengorbanan dan kesetiaan

Cinta tak pernah menjanjikan apa-apa. Ia berlaku dengan indah sekali dan mungkin berakhir dengan perit sekali.

Cinta tidak semestinya membawa kebahagian dan keindahan. Cinta juga adalah pemusnah dan boleh membawa pada kekecewaan yang panjang. Oleh itu berhati-hatilah dalam menyambut atau menerima huluran cinta dari seseorang itu.

Cinta tidak semestinya diucap dengan kata-kata manis sekiranya kita tidak tahu menghargai atau memahaminya. Apalah erti cinta jika kesetiaan yang wujud bukanlah dari hati yang ikhlas dan suci.

Cinta itu satu siksaan jika tiada kepastian. Jiwa pasti gelisah dalam meniti sebuat kepastian… gelisah memikirkan sama ada cinta yang dihulur berbalas atau hanya bertepuk sebelah tangan. Apa jua keputusan yang bakal diterima, tabahlah selalu kerana tidak semua impian dan kehendak kita menjadi milik kita.

Cinta tak semestinya diakhiri dengan perkahwinan. Perkahwinan tanpa cinta tak semestinya gagal. Keyakinan, kejujuran dan keredhaan Allah adalah segala -galanya.

Untuk bercinta kita mesti berani. Jangan takut pada kegagalan tapi takutlah pada kemungkaran. Bersedialah menghadapi kegagalan sebelum kegagalan menghancurkan hidup kita.

Ingat disetiap waktu ada org yang lebih menyayangi diri kita. Kita tak akan kehilangannya sekira kita terus menyayanginya dengan sepenuh hati

Cinta perempuan itu diibaratkan seperti layang-layang, bila dikejar ia lari, bila ditunggu ia menanti. Manakala cinta lelaki pula adalah seperti cermin, walaupun ia tidak berbohong, namun sukar untuk dipercayai. Sedangkan cinta itu sendiri adalah seperti sang rembulan yang menerangi kegelapan malam yang gelita tetapi sampai hati membiarkan pungguk merinduinya.

Andai kita menyinta, jangan dipuja cinta itu seperti bunga kerana bunga akan layu bila akhir musimnya. Biarlah cinta itu seperti sungai yang mengalir kerana ianya akan mengalir buat selamanya.

Cinta ibarat dua hati yang dihubungkan oleh sebatang spring teguh dan ajaib, apabila dua hati itu dijarakkan, spring itu akan mengalami ketegangan. Semakin jauh spring itu diregangkan, semakin kuat dua hati itu ingin bertemu.

Cinta yang dimulai dengan senyuman,tumbuh dengan dakapan dan seringkali berakhir dengan air mata.

Cinta itu adalah sesuatu yang SEDAP jika dilihat, tapi BASI jika dibiarkan. Cinta itu BUKAN seuatu hal yang indah, jika berakhir dengan perpisahan. Cinta itu PENYAKIT, iaitu membuat jantung GEMENTAR

Hal paling kejam yang seseorang lakukan kepada orang lain adalah membiarkannya jatuh cinta, sementara kamu tidak berniat untuk menangkapnya

Jangan pernah membicarakan perasaan yang tidak pernah ada. Jangan pernah menyentuh hidup seseorang kalau hal itu akan menghancurkan hatinya. Jangan pernah menatap matanya kalau semua yang kamu lakukan hanya berbohong.

Ada cinta yang agung antara hamba dan Tuhannya. Cinta kudus antara bonda dan anaknya. Ada cinta rafik yang setia. Ada cinta berahi antara kekasih teruna dara. Ada cinta persaudaraan yang tiada bandingnya. Ada cinta sesama makhluk yang begitu mulia dan cinta dikatakan hampir tidak memilih usia. Ia juga tidak mengira rona bangsa. Tidak ada miskin kaya dalam catatan kamus cinta. Justeru, cinta dikatakan sesuatu yang cukup luar biasa dalam cakerawala hidup setia jiwa.

Cinta Tidak Harus Berbentuk ‘Bunga’

Aku mencintai suamiku kerana sifatnya yang semulajadi dan aku begitu menyukai perasaan hangat yang muncul di hati ketika bersandar di bahunya yang bidang.

Tiga tahun dalam alam perkenalan, dan dua tahun dalam alam perkahwinan, harus aku akui bahawa aku mulai rasa bosan dan lelah dengan kehidupan berumahtangga dengannya dan alasan-alasan mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan.

Aku seorang wanita yang berjiwa sentimental dan benar2 sensitif serta berperasaan halus. Aku merindui saat-saat romantis seperti seorang anak yang menginginkan belaian. Tetapi semua itu tidak lagi aku perolehi. Suamiku jauh berbeza dari apa yang aku harapkan dulu. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah memusnahkan semua harapan tentang kehidupan cinta yang ideal.

Suatu hari, aku beranikan diri untuk menyatakan keputusan untuk bercerai.

“Mengapa?”, dia bertanya dengan terkejut.

“Aku lelah, kamu tidak pernah memberikan cinta yang aku inginkan”

Dia terdiam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak
seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan aku semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang dapat aku harapkan darinya?

Dan akhirnya dia bertanya, “Apa yang dapat aku lakukan untuk mengubah fikiranmu?”.

Aku menatap matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan, “Aku ada satu pertanyaan, jika kau dapat menemui jawapannya, aku akan mengubah fikiranku: Seandainya, aku menyukai setangkai bunga indah yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika kau memanjat gunung itu, kau akan mati. Apakah kau akan melakukannya untukku?”

Dia termenung dan akhirnya berkata, “Aku akan memberikan jawapannya esok.”

Hatiku langsung gundah mendengar reaksinya. Keesokan paginya, suamiku tiada di rumah, dan aku menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebuah gelas yang berisi susu hangat yang bertulis…

“Sayang, aku tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan aku untuk menjelaskan alasannya.”

Kalimat pertama ini menghancurkan hatiku. Aku lantas terus membacanya.

“Sayang, kau biasa menggunakan komputer dan selalu menghadapi masalah
kerosakan program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Aku harus memberikan jari-jariku supaya dapat membantumu dan memperbaiki programnya.”

“Kau selalu lupa membawa kunci rumah ketika keluar rumah, dan aku harus memberikan kakiku supaya dapat menendang pintu, dan membukakan pintu untukmu ketika pulang.”

“Kamu suka jalan2 ke luar kota tetapi selalu sesat di tempat-tempat baru kamu kunjungi, Aku harus menunggu di rumah agar dapat memberikan mataku untuk mengarahkan jalan untukmu.”

“Kamu selalu kelelahan pada waktu ‘teman baikmu’ datang setiap bulan, dan aku harus memberikan tanganku untuk memicit kakimu yang kebas.”

“Kamu seorang yg suka diam di rumah, dan aku selalu khuatir kamu akan menjadi ‘aneh’. Dan aku harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkanmu di rumah atau meminjamkan lidahku untuk menceritakan hal-hal lucu yang aku alami.”

“Kamu selalu menatap komputermu, membaca buku dan itu tidak baik untuk
kesihatan matamu, aku harus menjaga mataku agar ketika kita tua nanti, aku masih dapat menolong memotong kukumu dan mencabuti ubanmu.”

“Tanganku akan memegang tanganmu, membimbingmu menyusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna2 bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu”.

“Tetapi sayangku, aku tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, aku tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematianku.”

“Sayangku, aku tahu, di luar sana ada banyak orang yang mampu mencintaimu lebih dari aku mencintaimu.”

“Untuk itu sayangku, jika semua yang telah kuberikan dengan tanganku, kakiku, mataku, tidak cukup bagimu. Aku tidak dapat menahan dirimu mencari tangan, kaki, dan mata lain yang dapat membahagiakanmu.”

Air mataku jatuh di atas tulisannya dan membuat tintanya menjadi kabur, tetapi aku tetap berusaha untuk membaca selanjutnya…

“Dan sekarang, sayangku, kamu telah selesai membaca jawapanku. Jika kau berpuas hati dengan semua jawaban ini, dan tetap menginginkanku untuk tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, aku sekarang sedang berdiri di luar pintu menunggu jawapanmu.”

“Jika kamu tidak puas, sayangku, biarkan aku masuk untuk mengambil barang-barangku, dan aku tidak akan menyusahkan hidupmu. Percayalah, kebahagiaanku adalah apabila kau bahagia.”.

Aku segera berlari membuka pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah keliru sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaanku.

Oh, kini baru aku tahu, tidak ada orang lain yang pernah mencintaiku lebih dari dia mencintaiku. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasakan pasangan kita tidak dapat memberikan cinta dalam bentuk yang kita inginkan, maka cinta itu sesungguhnya telah hadir dalam bentuk lain yang tidak pernah kita bayangkan sebelumnya.

Seringkali yang kita perlukan adalah memahami bentuk cinta dari pasangan kita, dan bukan mengharapkan bentuk tertentu kerana cinta tidak selalu harus berbentuk “bunga”.

No comments: